Friday, June 3, 2011

Keputusan Perlawanan Persahabatan Malaysia vs Hong Kong (3 Jun 2011)

Hong Kong 1 - Malaysia 1 
Gol Malaysia dijaringkan oleh Abdul Hadi Yahya.



Sunday, May 29, 2011

Kelantan Kembali Ungguli Liga

Kelantan berjaya merampas kembali takhta Liga Super 2011 daripada Terengganu setelah mencatat kemenangan tipis ke atas Pahang 1-0 di Kota Bharu. Setelah dikecewakan pasukan yang sama pada pusingan pertama sebelum ini, misi untuk mengutip 3 mata penuh sekali gus kembali mencabar Terengganu dan Selangor berjaya hasil jaringan kapten pasukan, Mohd Badri pada minit ke 10. Kelantan mempunyai peluang keemasan untuk menambah koleksi jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti, namun Norshahrul Idlan Talaha gagal menterjemahkan peluang tesebut kepada jaringan. 

Di Kuala Terengganu, skuad Penyu yang menunjukkan aksi konsisten sebelum ini dikejutkan oleh Kedah apabila tewas 0-1 kepada anak buah Wan Jamak. Jaringan tunggal hasil jaringan Badrol Bakhtiar pada babak pertama sudah cukup untuk mengecewakan ribuan penyokong Terengganu semalam. Walaupun berkongsi mata dengan Kelantan, Terengganu terpaksa melepaskan takhta kepada jiran mereka setelah kelebihan jaringan berpihak kepada The Red Warriors. Persaingan kedua-dua pasukan Pantai Timur ini untuk memenangi piala liga dijangka semakin rancak. Kemuncak saingan pastiya apabila kedua-dua pasukan dijadualkan bertembung untuk perlawanan seterusnya di Kuala Terengganu.

Di sebalik kerancakkan perebutan antara Kelantan dan Terengganu, Selangor kembali memberi saingan walaupun tewas 3 perlawanan berturut-turut sebelum ini. Hanya berada 2 mata dibelakang Terengganu dan Kelantan, Selangor nyata masih mampu memberi cabaran dan berpeluang merebut takhta liga. Skuad kendalian K.Devan kembali menunjukkan kebangkitan apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di Shah Alam semalam. Beraksi di gelanggang sendiri namum tanpa sokongan penyokong yang kecewa dengan aksi hambar sebelum ini, Selangor masih bersemangat untuk meneruskan cabaran. 

Saingan tinggal lagi 3 perlawanan, kini hanya 3 pasukan teratas yang masih mampu berpeluang untuk melayakkan diri bergelar juara musim ini. Keputusan penuh saingan Liga Super 2011 perlawanan ke 23:



Wednesday, May 25, 2011

Terengganu Lebih Layak

Ketika saingan Liga Super berbaki lagi 4 perlawanan, Terengganu yang tampil konsisten sejak awal musim tampak seolah-olah lebih layak untuk memegang trofi Liga Super 2011. Malam ini, anak didik Irfan Bakti sekali lagi menunjukkan kebangkitan apabila membelasah Pahang 5-0 di hadapan ribuan penyokong setia Sang Penyu di K.Terengganu. Setelah mematahkan perjalanan Pahang dalam saingan Piala FA sebelum ini, Terengganu sekali lagi membuktikan kebangkitan konsisten mereka dalam perlawanan malam ini. Mendahului 2-0 pada babak pertama nyata menyemarakkan lagi semangat T'ganu untuk terus menambah 3 lagi jaringan di separuh masa kedua. Nyata perjuangan malam ini tidak sia2, Tganu akhirnya berjaya merampas takhta liga dari pendahulu sebelum ini, Kelantan yang juga lawan mereka pada Final Piala FA 11 Jun nanti. Bukan sahaja mendahului dari segi mata, Terengganu berjaya memintas rekod jaringan terbanyak dan jumlah bolos paling sedikit yang dipegang Kelantan sejak awal musim 2011.

Di Kota Bharu, nasib malang Kelantan berterusan lagi. Setelah hanya mampu seri ketika menentang Harimau Muda A Ahad lepas, malam ini menyaksikan rekod tanpa kalah Kelantan di gelanggang sendiri sejak awal musim akhirnya lebur. Lebih teruk apabila misi membalas dendam terhadap T-Team setelah kalah 3-4 pada perlawanan pertama tidak kesampaian. T-Team yang turun selaku pelawat bagaikan membawa misi "abang" mereka untuk menewaskan Kelantan. Kelantan yang berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 90 nyata tidak mampu menyekat semangat pasukan T-Team. Indra Putra sekali lagi mengecewakan bekas pasukan lamanya apabila menjaringkan gol kedua pelawat pada waktu kecederaan. Kelantan terpaksa akur untuk melepaskan takhta liga kepada jiran mereka, Terengganu.

Selangor pula ditimpa kekalahan buat kali ketiga berturut-turut. Setelah gagal  ke pusingan akhir Piala FA, Selangor seolah-olah hilang punca apabila terus mencatat kekalahan. Malam ini, Selangor gagal mengutip sebarang mata apabila ditewaskan Harimau Muda A di Shah Alam. Turun selaku tuan rumah dengan hampir 3000 penyokong, Selangor yang tampak bertenaga pada babak pertama gagal menyekat kebangkitan anak muda dari Harimau Muda A. Selangor kekal ditangga ketiga, 5 mata dibelakang pendahulu baru, Terengganu.

Keputusan penuh perlawanan Liga Super malam ini:


Melihat pada corak permainan serta cabaran yang harus ditempuhi oleh 3 pasukan teratas liga, tidak mustahil jika saya katakan, Terengganu mempunyai peluang yang cerah berbanding Kelantan dan Selangor untuk menjulang Trofi Liga Super tahun ini.

Sunday, May 22, 2011

Liga Super 2011, Selangor Gigit Jari

Saingan Liga Super yang memasuki perlawanan ke 21 malam ini terus menampakkan persaingan sengit antara Kelantan, Selangor dan Terengganu. Selangor yang berada ditangga kedua sebelum ini tewas sekali lagi apabila turun menentang anak buah Dollah Salleh di Kuantan. Setelah dikecewakan Kelantan pada saingan Piala FA, Selangor gagal mempertahankan kedudukan teratas liga setelah tewas 2 perlawanan berturut-turut. 

Pendahulu liga yang turun selaku pelawat menentang Harimau Muda A di Shah Alam nyaris dimalukan dihadapan ribuan penyokong sendiri. Aksi menarik yang yang ditunjukkan oleh Harimau Muda nyata membuahkan hasil apabila nyaris menewaskan pendahulu liga dengan 2-1. Namun jaringan minit-minit terakhir dari penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha berjaya memberi 1 mata buat pelawat. Kelantan terus mengungguli takhta liga, namun berkongsi mata dengan satu lagi pasukan dari Pantai Timur, Terengganu. Walaupun mendahului, kedudukan Kelantan masih goyah apabila baki 5 perlawanan yang harus dilalui nyata lebih berliku apabila terpaksa menentang pasukan T-Team, Pahang, Terengganu dan Perak yang pernah menewaskan mereka sebelum ini. 

Pencabar utama Kelantan yang juga lawan pada Final Piala FA June depan, Terengganu terus mencabar kedudukan Kelantan apabila mencatat satu lagi kemenangan ke atas Negeri Sembilan. Terengganu yang turun selaku tuan rumah, nyata menggembirakan ribuan penyokong setia skuad Penyu setelah menang bergaya 3-0. Jaringan awal Terengganu pada minit ke 26, disertai dua lagi jaringan pada separuh masa kedua nyata melumpuhkan semangat N9 untuk membawa pulang 3 mata ke Seremban.

Saingan cuma tinggal 5 perlawanan sahaja, namun sehingga kini tiada pasukan yang berada di kedudukan selesa. Buat 3 pendahulu liga, hanya kemenangan dalam semua baki perlawanan yang dapat mengesahkan kedudukan masing-masing. Sebarang kehilangan mata hanya akan memberi ruang untuk pencabar lain merampas kedudukan mereka. 

Berikut keputusan penuh untuk perlawanan Liga Super malam ini (22 Mei 2011).