Tuesday, June 7, 2011

Gelanggang The Red Warriors Jadi Pilihan

Sumber dari HMetro

SKUAD bola sepak kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal akan berkunjung ke Kota Bharu bagi mengharungi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Myanmar, 18 Jun ini selepas FAM bersetuju mengadakan perlawanan itu di luar Lembah Klang.
Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad keputusan dibuat selepas mempertimbangkan permohonan rasmi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) untuk menganjurkan perlawanan itu di Stadium Sultan Mohamed ke-IV.

“Keputusan ini akan memberi peluang kepada penyokong skuad kebangsaan di Pantai Timur melihat aksi pemain negara. Malah selepas perbincangan dengan Tuanku Presiden (Sultan Ahmad Shah), selepas ini mana-mana persatuan negeri yang mahu menjadi tuan rumah perlawanan persahabatan antarabangsa boleh berbuat demikian asalkan stadium yang digunakan menepati standard yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita dalam sidang media semalam.
Azzuddin berkata, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah memberikan kelulusan bagi perlawanan itu diadakan di stadium yang mempunyai kapasiti penonton sebanyak 18,000.

Skuad kebangsaan Myanmar yang dibimbing jurulatih Milan Zivadenovic akan tiba di Kota Bharu pada 16 Jun sementara skuad Malaysia akan berkumpul pada 15 Jun bagi sesi latihan pusat di Wisma FAM Kelana Jaya sebelum bertolak ke venue perlawanan pada 17 Jun.

Perlawanan persahabatan itu antara rangka persiapan Rajagobal dalam menyediakan skuad terbaik menjelang perlawanan pusingan pertama kelayakan Piala Dunia menentang Taiwan di Stadium Nasional Bukit Jalil 29 Jun ini dan akan bertandang ke gelanggang lawan pada 3 Julai.
Tiket bagi perlawanan di Kota Baharu berharga RM15 bagi tempat duduk terbuka, RM30 hingga RM50 bagi Grand Stand dan RM5 untuk kanak-kanak.


Malaysia VS Kemboja (Persahabatan)

Sumber dari HMetro

APA sudah jadi dengan skuad Olimpik negara apabila mereka dikejutkan dengan kekalahan kepada skuad kebangsaan Kemboja, 1-0 pada aksi persahabatan, semalam sekali gus memberi tamparan hebat buat jurulatih Ong Kim Swee menjelang misi utama perlawanan pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik menentang Lubnan 19 Jun ini.
Menurut Kim Swee, sikap ambil mudah anak buahnya ternyata membawa padah apabila mereka gagal bangkit sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri selepas ketinggalan satu gol pada awal babak pertama menerusi jaringan Kouch Sokumpheak.

“Saya hanya boleh menilai prestasi pemain dalam tempoh 60 minit sebelum hujan lebat, saya sudah menjangkakan perlawanan dengan skuad kebangsaan Kemboja ini bukan mudah.
“Pemain harus ingat, selepas kita menjuarai Piala AFF dan Sukan Sea, jangan ingat pasukan lain tidak membuat persiapan. Kekalahan ini pengajaran berguna buat pemain supaya tidak mengambil mudah kerana gol yang kita lepaskan adalah atas sebab kesilapan sendiri,” katanya selepas perlawanan.

Sebaik permainan bermula, pasukan tuan rumah kendalian Lee Tae-Hoon dari Korea beraksi lebih kemas dengan permainan pantas sehingga menyukarkan pemain negara khususnya di bahagian tengah yang diterajui Gary Steven Robbart berfungsi dengan baik.

Selepas 10 minit beraksi, Kemboja yang bermain di laman sendiri berjaya membuka tirai jaringan apabila penyerang lincah, Sokumpheak berjaya memperdayakan dua pemain pertahanan, Mahali Jasuli dan Mohamad Muslim Ahmad sebelum melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat.
Satu-satunya percubaan terbaik diperoleh skuad negara yang hampir kesemuanya pemain Harimau Muda A kecuali pemain pertahanan dari Terengganu, Mohd Zubir Azmi adalah menerusi percubaan Mohd Fandi Othman namun sepakannya mudah dibaca penjaga gol lawan.

Aksi keras ditunjukkan Malaysia menyebabkan tiga pemain Izzaq Faris Ramlan, Gari dan Mahali di layangkan kad kuning pada babak pertama.
Permainan anak buah Kim Swee tidak banyak berbeza pada babak kedua sehingga memaksa jurulatih negara itu membuat beberapa pertukaran termasuk membawa masuk Mohd Affize Faisal Mamat, Mohd Ferris Daniel Mat Nasir dan Mohamad Faizal Abu Bakar menggantikan Mahali, Gary Steven dan Wan Zack Haikal Wan Nor.

Strategi itu tampak memberi kesan apabila skuad Olimpik mula melancarkan asakan bermula dengan rembatan jarak jauh Mohamad Faizal yang sedikit tersasar pada minit ke-67.

Namun kebangkitan pemain negara selepas itu terjejas akibat hujan lebat yang menyaksikan hantaran-hantaran mereka tersekat di atas padang yang digenangi air.

Skuad negara akan kembali ke tanah air hari ini untuk meneruskan sesi latihan pusat dan bertolak ke Doha bagi aksi perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik Qatar pada 13 Jun sebelum bertemu Lubnan di Beirut pada 19 Jun.

Aksi kedua perlawanan kelayakan Olimpik itu akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Jun.

Monday, June 6, 2011

Kelantan Kukuhkan Kedudukan

Seperti dijangka, pertembungan antara 2 finalis Piala FA tahun ini berlangsung sengit sebentar tadi. Turun selaku tuan rumah, Terengganu memulakan asakan sebaik wisel dibunyikan. Percubaan demi percubaan dari Terengganu berjaya digagalkan oleh penjaga gawang kedua Kelantan, Mohd Shahrizan. Beliau yang turun menggantikan Khairul Fahmi yang masih bersama skuad Olimpik kebangsaan nyata tidak menghampakan seluruh peminat Kelantan. Beraksi tanpa kelibat penyerang berbisa, Ashaari Samsudin sedikit sebanyak merencatkan rentak serangan Terengganu.

Kelantan yang berjaya menjaringkan gol seawal minit ke 8 hasil sepakan pemain simpanan, Izuan Solahudin terus bernafsu untuk menambah jaringan. 2 gol pada babak kedua dari Norshahrul Idlan Talaha bukan sahaja memberi kemenangan bergaya kepada Kelantan, namun lebih manis apabila peyerang kebangsaan itu berjaya mengatasi jumlah jaringan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya, untuk berada ditangga teratas penjaring terbanyak Liga Super musim ini. 

Di sebalik kegembiraan skuad The Red Warriors, Selangor seolah-olah melaungkan amaran kepada 2 jaguh Pantai Timur ini, apabila kembali bersaing setelah menewaskan Perlis dengan 7-1 di Shah Alam. Selangor yang agak merosot sebelum ini berjaya bangkit dalam 2 perlawanan berturut-turut untuk kembali memberi tekanan kepada Kelantan dan Terengganu. Nyata semangat dan usaha anak didik K.Devan berbaloi apabila bergaya membelasah pasukan tercorot liga sebentar tadi. Selangor kini mengatasi Terengganu dengan kelebihan 1 mata. Saingan hanya berbaki 2 perlawanan, namum bayangan juara Liga Super 2011 masih belum dapat ditentukan. Kelantan, Selangor dan Terengganu masih mempunyai peluang yang hampir sama. 

Turut mencipta kejutan malam ini ialah Negeri Sembilan, yang menang bergaya 4-0 ke atas T-Team. Walaupun sudah terlambat untuk merebut kejuaraan liga, kemenangan malam ini dilihat mampu menyelamatkan Negeri Sembilan daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan. 

Berikut keputusan penuh dan kedudukan terkini liga untuk malam ini:


Saingan Liga Super akan berehat sementara memberi laluan untuk perlawanan akhir Piala FA 2011. Terengganu dan Kelantan bakal berentap sekali lagi, kali ini dalam saingan hidup mati untuk bergelar juara Piala FA. Apakah keputusan malam ini boleh dijadikan kayu pengukur untuk Piala FA nanti? Apapun, kepantasan Ashaari Samsudin pastinya akan ditagih oleh Irfan Bakti untuk membalas dendam kepada Kelantan Sabtu ini.

Sunday, June 5, 2011

Pertembungan 3 Penjuru

Malam ini menyaksikan persaingan merebut takhta Liga Super 2011 kembali bersambung. Tinggal lagi 3 baki perlawanan, hanya 3 pasukan yang dilihat layak menjulang Piala Liga Super. Antara Kelantan, Terengganu dan Selangor..ketiga-tiga pasukan masih mempunyai peluang yang sama rata.

Malam ini mungkin akan menjadi malam penentu buat Kelantan dan Terengganu untuk menunjukkan siapa yang paling layak memegang takhta liga. Kelantan yang hanya berkelebihan 1 jaringan dengan mata yang sama dengan Terengganu berdepan tugas getir untuk menumbangkan Skuad Penyu di Kuala Terengganu. Walaupun memegang rekod 2 tahun tanpa kalah menentang pasukan yang sama di Kuala Terengganu, namum prestasi konsisten anak didik Irfan Bakti tahun ini sedikit sebanyak member tekanan kepada The Red Warriors. Turun tanpa penjaga gawang utama dan pemain tengah Zairul Fitree, Kelantan tetap yakin mampu menundukkan jiran mereka malam ini. 

Bagi pengendali Terengganu, Irfan Bakti walaupun anak buahnya turun tanpa kelibat penyerang berbisa, Ashaari Samsudin yang digantung perlawanan ..kelebihan masih menjadi milik mereka. Bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri mala mini, Irfan yakin skuad Terengganu mampu bangkit selepas dikecewakan Kedah 0-1 minggu lalu. Kelantan atau Terengganu? Pasukan yang menang pasti mempunyai peluang yang lebih cerah untuk muncul sebagai juara Liga. Namun awas! Jika perlawanan berkeputusan seri malam ini, Selangor yang tampak yakin mampu menewaskan Perlis mungkin bakal merampas kedudukan pendahulu. Selangor kini hanya 2 mata dibelakang Terengganu dan Kelantan. 

Jadual perlawanan ke 24 saingan Liga Super 2011 malam ini:


Keputusan perlawanan antara dua gergasi Pantai Timur ini juga boleh dianggap sebagai bayangan untuk Juara Piala FA tahun ini. Kedua-dua pasukan bakal berentap sekali lagi pada 11 Jun ini. Namum kali ini, saingannya pasti berbeza apabila mereka turun untuk merebut kejuaraan Piala FA di pentas akhir. Final Piala FA tahun ini akan menjadi sejarah apabila Terengganu dan Kelantan buat pertama kalinya berentap. Perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.