Showing posts with label Liga Super 2011. Show all posts
Showing posts with label Liga Super 2011. Show all posts

Monday, June 6, 2011

Kelantan Kukuhkan Kedudukan

Seperti dijangka, pertembungan antara 2 finalis Piala FA tahun ini berlangsung sengit sebentar tadi. Turun selaku tuan rumah, Terengganu memulakan asakan sebaik wisel dibunyikan. Percubaan demi percubaan dari Terengganu berjaya digagalkan oleh penjaga gawang kedua Kelantan, Mohd Shahrizan. Beliau yang turun menggantikan Khairul Fahmi yang masih bersama skuad Olimpik kebangsaan nyata tidak menghampakan seluruh peminat Kelantan. Beraksi tanpa kelibat penyerang berbisa, Ashaari Samsudin sedikit sebanyak merencatkan rentak serangan Terengganu.

Kelantan yang berjaya menjaringkan gol seawal minit ke 8 hasil sepakan pemain simpanan, Izuan Solahudin terus bernafsu untuk menambah jaringan. 2 gol pada babak kedua dari Norshahrul Idlan Talaha bukan sahaja memberi kemenangan bergaya kepada Kelantan, namun lebih manis apabila peyerang kebangsaan itu berjaya mengatasi jumlah jaringan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya, untuk berada ditangga teratas penjaring terbanyak Liga Super musim ini. 

Di sebalik kegembiraan skuad The Red Warriors, Selangor seolah-olah melaungkan amaran kepada 2 jaguh Pantai Timur ini, apabila kembali bersaing setelah menewaskan Perlis dengan 7-1 di Shah Alam. Selangor yang agak merosot sebelum ini berjaya bangkit dalam 2 perlawanan berturut-turut untuk kembali memberi tekanan kepada Kelantan dan Terengganu. Nyata semangat dan usaha anak didik K.Devan berbaloi apabila bergaya membelasah pasukan tercorot liga sebentar tadi. Selangor kini mengatasi Terengganu dengan kelebihan 1 mata. Saingan hanya berbaki 2 perlawanan, namum bayangan juara Liga Super 2011 masih belum dapat ditentukan. Kelantan, Selangor dan Terengganu masih mempunyai peluang yang hampir sama. 

Turut mencipta kejutan malam ini ialah Negeri Sembilan, yang menang bergaya 4-0 ke atas T-Team. Walaupun sudah terlambat untuk merebut kejuaraan liga, kemenangan malam ini dilihat mampu menyelamatkan Negeri Sembilan daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan. 

Berikut keputusan penuh dan kedudukan terkini liga untuk malam ini:


Saingan Liga Super akan berehat sementara memberi laluan untuk perlawanan akhir Piala FA 2011. Terengganu dan Kelantan bakal berentap sekali lagi, kali ini dalam saingan hidup mati untuk bergelar juara Piala FA. Apakah keputusan malam ini boleh dijadikan kayu pengukur untuk Piala FA nanti? Apapun, kepantasan Ashaari Samsudin pastinya akan ditagih oleh Irfan Bakti untuk membalas dendam kepada Kelantan Sabtu ini.

Sunday, June 5, 2011

Pertembungan 3 Penjuru

Malam ini menyaksikan persaingan merebut takhta Liga Super 2011 kembali bersambung. Tinggal lagi 3 baki perlawanan, hanya 3 pasukan yang dilihat layak menjulang Piala Liga Super. Antara Kelantan, Terengganu dan Selangor..ketiga-tiga pasukan masih mempunyai peluang yang sama rata.

Malam ini mungkin akan menjadi malam penentu buat Kelantan dan Terengganu untuk menunjukkan siapa yang paling layak memegang takhta liga. Kelantan yang hanya berkelebihan 1 jaringan dengan mata yang sama dengan Terengganu berdepan tugas getir untuk menumbangkan Skuad Penyu di Kuala Terengganu. Walaupun memegang rekod 2 tahun tanpa kalah menentang pasukan yang sama di Kuala Terengganu, namum prestasi konsisten anak didik Irfan Bakti tahun ini sedikit sebanyak member tekanan kepada The Red Warriors. Turun tanpa penjaga gawang utama dan pemain tengah Zairul Fitree, Kelantan tetap yakin mampu menundukkan jiran mereka malam ini. 

Bagi pengendali Terengganu, Irfan Bakti walaupun anak buahnya turun tanpa kelibat penyerang berbisa, Ashaari Samsudin yang digantung perlawanan ..kelebihan masih menjadi milik mereka. Bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri mala mini, Irfan yakin skuad Terengganu mampu bangkit selepas dikecewakan Kedah 0-1 minggu lalu. Kelantan atau Terengganu? Pasukan yang menang pasti mempunyai peluang yang lebih cerah untuk muncul sebagai juara Liga. Namun awas! Jika perlawanan berkeputusan seri malam ini, Selangor yang tampak yakin mampu menewaskan Perlis mungkin bakal merampas kedudukan pendahulu. Selangor kini hanya 2 mata dibelakang Terengganu dan Kelantan. 

Jadual perlawanan ke 24 saingan Liga Super 2011 malam ini:


Keputusan perlawanan antara dua gergasi Pantai Timur ini juga boleh dianggap sebagai bayangan untuk Juara Piala FA tahun ini. Kedua-dua pasukan bakal berentap sekali lagi pada 11 Jun ini. Namum kali ini, saingannya pasti berbeza apabila mereka turun untuk merebut kejuaraan Piala FA di pentas akhir. Final Piala FA tahun ini akan menjadi sejarah apabila Terengganu dan Kelantan buat pertama kalinya berentap. Perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sunday, May 29, 2011

Kelantan Kembali Ungguli Liga

Kelantan berjaya merampas kembali takhta Liga Super 2011 daripada Terengganu setelah mencatat kemenangan tipis ke atas Pahang 1-0 di Kota Bharu. Setelah dikecewakan pasukan yang sama pada pusingan pertama sebelum ini, misi untuk mengutip 3 mata penuh sekali gus kembali mencabar Terengganu dan Selangor berjaya hasil jaringan kapten pasukan, Mohd Badri pada minit ke 10. Kelantan mempunyai peluang keemasan untuk menambah koleksi jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti, namun Norshahrul Idlan Talaha gagal menterjemahkan peluang tesebut kepada jaringan. 

Di Kuala Terengganu, skuad Penyu yang menunjukkan aksi konsisten sebelum ini dikejutkan oleh Kedah apabila tewas 0-1 kepada anak buah Wan Jamak. Jaringan tunggal hasil jaringan Badrol Bakhtiar pada babak pertama sudah cukup untuk mengecewakan ribuan penyokong Terengganu semalam. Walaupun berkongsi mata dengan Kelantan, Terengganu terpaksa melepaskan takhta kepada jiran mereka setelah kelebihan jaringan berpihak kepada The Red Warriors. Persaingan kedua-dua pasukan Pantai Timur ini untuk memenangi piala liga dijangka semakin rancak. Kemuncak saingan pastiya apabila kedua-dua pasukan dijadualkan bertembung untuk perlawanan seterusnya di Kuala Terengganu.

Di sebalik kerancakkan perebutan antara Kelantan dan Terengganu, Selangor kembali memberi saingan walaupun tewas 3 perlawanan berturut-turut sebelum ini. Hanya berada 2 mata dibelakang Terengganu dan Kelantan, Selangor nyata masih mampu memberi cabaran dan berpeluang merebut takhta liga. Skuad kendalian K.Devan kembali menunjukkan kebangkitan apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di Shah Alam semalam. Beraksi di gelanggang sendiri namum tanpa sokongan penyokong yang kecewa dengan aksi hambar sebelum ini, Selangor masih bersemangat untuk meneruskan cabaran. 

Saingan tinggal lagi 3 perlawanan, kini hanya 3 pasukan teratas yang masih mampu berpeluang untuk melayakkan diri bergelar juara musim ini. Keputusan penuh saingan Liga Super 2011 perlawanan ke 23:



Wednesday, May 25, 2011

Terengganu Lebih Layak

Ketika saingan Liga Super berbaki lagi 4 perlawanan, Terengganu yang tampil konsisten sejak awal musim tampak seolah-olah lebih layak untuk memegang trofi Liga Super 2011. Malam ini, anak didik Irfan Bakti sekali lagi menunjukkan kebangkitan apabila membelasah Pahang 5-0 di hadapan ribuan penyokong setia Sang Penyu di K.Terengganu. Setelah mematahkan perjalanan Pahang dalam saingan Piala FA sebelum ini, Terengganu sekali lagi membuktikan kebangkitan konsisten mereka dalam perlawanan malam ini. Mendahului 2-0 pada babak pertama nyata menyemarakkan lagi semangat T'ganu untuk terus menambah 3 lagi jaringan di separuh masa kedua. Nyata perjuangan malam ini tidak sia2, Tganu akhirnya berjaya merampas takhta liga dari pendahulu sebelum ini, Kelantan yang juga lawan mereka pada Final Piala FA 11 Jun nanti. Bukan sahaja mendahului dari segi mata, Terengganu berjaya memintas rekod jaringan terbanyak dan jumlah bolos paling sedikit yang dipegang Kelantan sejak awal musim 2011.

Di Kota Bharu, nasib malang Kelantan berterusan lagi. Setelah hanya mampu seri ketika menentang Harimau Muda A Ahad lepas, malam ini menyaksikan rekod tanpa kalah Kelantan di gelanggang sendiri sejak awal musim akhirnya lebur. Lebih teruk apabila misi membalas dendam terhadap T-Team setelah kalah 3-4 pada perlawanan pertama tidak kesampaian. T-Team yang turun selaku pelawat bagaikan membawa misi "abang" mereka untuk menewaskan Kelantan. Kelantan yang berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 90 nyata tidak mampu menyekat semangat pasukan T-Team. Indra Putra sekali lagi mengecewakan bekas pasukan lamanya apabila menjaringkan gol kedua pelawat pada waktu kecederaan. Kelantan terpaksa akur untuk melepaskan takhta liga kepada jiran mereka, Terengganu.

Selangor pula ditimpa kekalahan buat kali ketiga berturut-turut. Setelah gagal  ke pusingan akhir Piala FA, Selangor seolah-olah hilang punca apabila terus mencatat kekalahan. Malam ini, Selangor gagal mengutip sebarang mata apabila ditewaskan Harimau Muda A di Shah Alam. Turun selaku tuan rumah dengan hampir 3000 penyokong, Selangor yang tampak bertenaga pada babak pertama gagal menyekat kebangkitan anak muda dari Harimau Muda A. Selangor kekal ditangga ketiga, 5 mata dibelakang pendahulu baru, Terengganu.

Keputusan penuh perlawanan Liga Super malam ini:


Melihat pada corak permainan serta cabaran yang harus ditempuhi oleh 3 pasukan teratas liga, tidak mustahil jika saya katakan, Terengganu mempunyai peluang yang cerah berbanding Kelantan dan Selangor untuk menjulang Trofi Liga Super tahun ini.

Sunday, May 22, 2011

Liga Super 2011, Selangor Gigit Jari

Saingan Liga Super yang memasuki perlawanan ke 21 malam ini terus menampakkan persaingan sengit antara Kelantan, Selangor dan Terengganu. Selangor yang berada ditangga kedua sebelum ini tewas sekali lagi apabila turun menentang anak buah Dollah Salleh di Kuantan. Setelah dikecewakan Kelantan pada saingan Piala FA, Selangor gagal mempertahankan kedudukan teratas liga setelah tewas 2 perlawanan berturut-turut. 

Pendahulu liga yang turun selaku pelawat menentang Harimau Muda A di Shah Alam nyaris dimalukan dihadapan ribuan penyokong sendiri. Aksi menarik yang yang ditunjukkan oleh Harimau Muda nyata membuahkan hasil apabila nyaris menewaskan pendahulu liga dengan 2-1. Namun jaringan minit-minit terakhir dari penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha berjaya memberi 1 mata buat pelawat. Kelantan terus mengungguli takhta liga, namun berkongsi mata dengan satu lagi pasukan dari Pantai Timur, Terengganu. Walaupun mendahului, kedudukan Kelantan masih goyah apabila baki 5 perlawanan yang harus dilalui nyata lebih berliku apabila terpaksa menentang pasukan T-Team, Pahang, Terengganu dan Perak yang pernah menewaskan mereka sebelum ini. 

Pencabar utama Kelantan yang juga lawan pada Final Piala FA June depan, Terengganu terus mencabar kedudukan Kelantan apabila mencatat satu lagi kemenangan ke atas Negeri Sembilan. Terengganu yang turun selaku tuan rumah, nyata menggembirakan ribuan penyokong setia skuad Penyu setelah menang bergaya 3-0. Jaringan awal Terengganu pada minit ke 26, disertai dua lagi jaringan pada separuh masa kedua nyata melumpuhkan semangat N9 untuk membawa pulang 3 mata ke Seremban.

Saingan cuma tinggal 5 perlawanan sahaja, namun sehingga kini tiada pasukan yang berada di kedudukan selesa. Buat 3 pendahulu liga, hanya kemenangan dalam semua baki perlawanan yang dapat mengesahkan kedudukan masing-masing. Sebarang kehilangan mata hanya akan memberi ruang untuk pencabar lain merampas kedudukan mereka. 

Berikut keputusan penuh untuk perlawanan Liga Super malam ini (22 Mei 2011). 


Thursday, May 19, 2011

Keputusan Penuh Liga Super 2011 (19 Mei 2011)

Selepas berehat untuk memberi ruang kepada saingan Piala FA, pasukan-pasukan dalam Liga Super kembali berentap semalam. Berikut keputusan penuh semua perlawanan ke 20 Liga Super 2011.

Kedah 2 - 0 Perlis
Felda United 1 - 3 Kelantan
Harimau Muda A 1 - 2 Terengganu
Negeri Sembilan 2 - 1 Johor FC 
Pahang 0 - 2 Kuala Lumpur
T-Team 2 - 1 Selangor
Perak 1 - 1 Sabah

Kekalahan Selangor kepada T-Team di Terengganu semalam menyebabkan skuad kendalian K.Devan sekali lagi perlu melepaskan takhta liga kepada Kelantan, yang menewaskan Felda United di Kuala Lumpur. Tinggal 6 lagi baki perlawanan untuk saingan Liga Super musim ini. Peluang masih terbuka untuk 3 pasukan teratas merebut kejuaraan liga. Yang pasti, baki perlawanan untuk ketiga-tiga pasukan ini menjanjikan saingan yang hebat kerana perlu berhadapan lawan yang lebih kurang hebatnya.

Tuesday, May 10, 2011

Selangor Lega

Jurulatih Selangor, K.Devan dan anak buahnya boleh menarik nafas lega apabila kekal di tangga teratas Kiga Super, mengatasi Kelantan dengan kelebihan 2 mata. Selangor dan Kelantan sebelum ini berkongsi mata ditangga teratas dengan kelebihan jaringan dimiliki Kelantan. Keputusan perlawanan tunggal Liga Super antara Kelantan dan Negeri Sembilan semalam yang berakhir seri 0-0, memberi ruang untuk Red Giants mencipta jurang setelah mereka berjaya mengatasi Kedah di Stadium Darul Aman semalam. 
 
Kelantan kini ditangga ke 2, dengan 2 mata di belakang Selangor dan 2 mata di atas Terengganu. Kelantan dan Selangor bakal berentap buat kali kedua bulan ini, dalam saingan merebut tiket ke perlawanan akhir Piala FA. Perlawanan pusingan pertama separuh akhir Piala FA akan berlangsung Jumaat ini, 13 Mei di Stadium Shah Alam.

Satu lagi perlawanan separuh akhir akan berlangsung antara Pahang menentang Terengganu juga pada hari yang sama.

Monday, May 9, 2011

Keputusan Penuh Liga Super 2011 (9 Mei 2011)

Sebanyak 6 perlawanan berlangsung malam ini untuk saingan Liga Super 2011. Selangor terus mencabar kedudukan Kelantan setelah merampas takhta liga apabila berjaya menewaskan Kedah 2-0. Setelah tewas ditangan Kelantan Sabtu lalu, Sang Kenari skali lagi menerima kekalahan, kali ini dihadapan penyokong sendiri.
Kelantan perlu menang dengan Negeri Sembilan esok jika ingin merampas kembali takhta liga dari Selangor.

Pencabar di tangga ketiga, Terengganu menerima kejutan apabila tewas ditangan Johor FC 1-2. Terengganu yang sebelum ini mengekori rapat Selangor dan Kelantan walaubagaimanapun kekal di tangga ke-3 dengan jurang 4 mata dari Selangor. 

Keputusan penuh perlawanan yang berlangsung malam ini:

Kedah 0- Selangor 2
Johor FC 2-Terengganu 1
Sabah 2-Pahang 0
Harimau Muda A 1- Perak 1
Kuala Lumpur 3-Perlis 0
T-Team 2-Felda United 0

Sabah semakin menunjukkan kebangkitan apabila mencatat kemenangan kedua berturut-turut setelah menang ke atas Negeri Sembilan minggu lalu.

Friday, May 6, 2011

Liga Super: Kejutan Sabah, Perlis

Sabah dan Perlis yang menduduki 2 tangga tercorot liga membuat kejutan dalam saingan Liga Super perlawanan ke 18 yang berlangsung semalam. Sabah yang turun selaku tuan rumah, mengejutkan Naib Juara Piala Malaysia 2010 apabila menumpaskan pasukan tersebut 2-0. Negeri Sembilan yang baru mencatat kemenangan bermakna di  bawah kendalian jurulatih baru, gagal mempertahankan aksi cemerlang di Sabah. 

Bagi Perlis yang menghuni tangga tercorot liga, kemenangan kedua yang diraih dalam saingan musim 2011 ini turut bermakna walaupun gagal mengubah kedudukan liga. Ini kerana, kemenangan yang diraih di gelanggang sendiri tetap meninggalkan kenangan manis buat mereka, apabila menewaskan jaguh kelab Pantai Timur, T-Team. T-Team sebelum ini mengejutkan arena bola sepak negara apabila tampil merobek rekod tanpa kalah Kelantan, diikuti dengan kemenangan ke atas Selangor.

Hampir semua perlawanan yang berlangsung semalam menunjukkan kemenangan berpihak kepada pasukan tuan rumah. Hanya Perak yang semakin tenggelam gagal meraih 3 mata pernuh di Ipoh apabila diikat 0-0 oleh Pahang. 

Persaingan 3 penjuru antara 3 pasukan teratas juga masih sengit dengan 3 mata penuh diraih oleh setiap pasukan apabila turun selaku tuan rumah untuk menewaskan lawan masing-masing. Kelantan menggembirakn hampir 25,000 penyokong di laman sendiri apabila menewaskan Kedah, 2-0. Walaupun diikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, keputusan M.Karathu memasukkan Khalid Jamlus pada separuh masa kedua berhasil apabila pemain itu berjaya menjaringkan gol pertama The Red Warriors pada minit ke 53, diikuti jaringan kedua oleh Chanturu. Kelantan bakal bertandang ke Paroi Selasa ini untuk bertemu Negeri Sembilan, sebelum kembali bertemu Selangor dalam separuh akhir Piala FA di Shah Alam.

Selangor yang berkongsi mata dengan Kelantan bangkit selepas ketinggalan 0-1 kepada Johor FC seterusnya berjaya meraih 3 mata berharga untuk terus memberi tekanan kepada penghulu liga. Selangor menang dengan 3-2. Selangor akan menentang Kedah di Stadium Darul Aman Selasa ini.

Terengganu yang  terus menghambat 2 pasukan teratas liga turut menambah koleksi jaringan apabila membelasah Kuala Lumpur 4-0 di Kuala Terengganu. 

Tuesday, May 3, 2011

Kedudukan 3 Tempat Teratas Liga Super Kekal

Setelah tamat 90 minit perlawanan ke 17 saingan Liga Super malam ini, kedudukan di 3 tempat teratas liga masih kekal dengan Kelantan dan Selangor berkongsi mata di tempat pertama dan kedua, manakala Terengganu masik mengekori dengan jurang satu mata di tempat ke 3. 

Selangor dan Terengganu nampak lebih selesa apabila mengutip 3 mata penuh dengan jaringan 3-1 ke atas lawan masing. Berlainan dengan Kelantan kerana terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Johor FC dengan 1-0. Kemenangan ketiga-tiga pasukan ini melihatkan kekuatan mental dan fizikal masing2 untuk tidak melepaskan sebarang mata untuk babak kedua saingan tahun ini.

Turut mencuri tumpuan apabila Negeri Sembilan yang turun tanpa 8 tonggak utama yang dilanda kecederaan, dengan mudah menewaskan antara pasukan pilihan, Perak dengan 3-1 di Paroi. Namun, masih banyak anak tangga yang perlu didaki oleh Naib Juara Piala Malaysia 2010 untuk menjadi antara pencabar tangga teratas seperti tahun2 sudah.

Kedah yang tampil cemerlang menewaskan Perak 3-1 Sabtu lalu gagal meneruskan rekod cemerlang apabila sekadar seri dalam pertembungan dengan Sabah sebentar tadi. Manakala Pahang yang dilihat berbahaya sebelum ini, kembali hambar apabila masih mencatat keputusan seri tanpa jaringan, seperti perlawanan menentang T-Team Sabtu lalu.

Ringkasan Keputusan Liga Super 2011 Perlawanan ke 17.


Perhitungan Tiga Penjuru

Persaingan merebut tempat teratas antara Kelantan, Selangor dan Terengganu bakal sengit bermula malam ini apabila 3 pasukan teratas liga ini akan turun berentap dengan bekalan mata yang hampir sama. Kelantan dan Selangor yang dipisahkan hanya dengan jumlah jaringan berada di atas Terengganu yang memungut kurang 1 mata dari perdahulu.

Perlawanan malam ini mungkin bakal merubah pendahulu Liga Super. Untuk terus memberi saingan, ketiga-tiga pendahulu ini harus menang dalam perlawanan malam ini dan seterusnya. Jika kalah, jurang mata antara mereka pastinya berbeza.

Lebih mencabar lagi apabila ketiga-tiga pasukan ini yang turut sama layak ke pusingan separuh akhir Piala FA bakal mengharungi perlawanan tersebut bulan ini, melihatkan jadual yang cukup padat untuk dilalui bulan Mei ini.

Sumber: Kosmo!


Kekuatan mental jadi penentu

MANA-MANA pasukan yang mempunyai kekuatan mental dan fizikal pasti akan muncul juara Liga Super musim ini.

Setelah mengharungi sembilan perlawanan sepanjang April, sesi 'tahan lasak' berterusan apabila tujuh lagi perlawanan Liga Super bakal berlangsung sepanjang Mei ini.

Bagi empat pasukan yang mara ke separuh akhir Piala FA, Kelantan, Selangor, Terengganu dan Pahang, mereka terpaksa mengharungi tambahan dua perlawanan (13 dan 16 Mei) menjadikan keseluruhan sembilan perlawanan untuk mereka harungi sepanjang bulan ini.

Apa yang pasti, ketahanan tiga pasukan teratas Liga Super - Kelantan, Selangor dan Terengganu - akan teruji apabila mereka bakal beraksi tanpa henti selang tiga hari bermula malam ini.

Dengan baki tiga aksi terakhir Liga Super hanya akan berlangsung pada 6 Jun, 14 Jun dan 6 Julai, bayangan pasukan yang bakal muncul juara mungkin terjawab selepas perlawanan ke-23 pada 28 Mei ini.

Ketika ini, Kelantan dan Selangor terikat 33 mata, manakala Terengganu di tangga ketiga dengan 32 mata, mening- galkan agak jauh pasukan di tangga keempat, Kedah dengan 27 mata.

Bagi juara bertahan Selangor, mereka perlu bangkit dengan mencatat semula kemena- ngan setelah tewas 0-1 kepada Kelantan dan seri 1-1 dengan Terengganu pada dua aksi terakhir.

Selangor bakal bertemu Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini dan jurulatihnya, K. Devan tidak memikirkan perkara lain kecuali kemenangan.

"Kita tak mahu melakukan kesilapan dan tercicir mata lagi. Saya akan turunkan kesebe- lasan terbaik dan pastinya mahu mencuri tiga mata penuh di Cheras.

"Tentang jadual padat ini, kita akan cuba menyesuaikan diri sebaik mungkin terutama dengan mencorakkan sesi latihan yang bersesuaian dengan keadaan," kata Devan.

Namun kesan jadual padat telah menyebabkan tiga pemain Selangor, Khairul Anuar Baharom, Razman Roslan dan Amirulhadi Zainal dilanda kecederaan.

Fadzli Saari, Bunyamin Umar dan Fitri Shazwan pula mengalami cedera ringan dan Devan akan melihat tahap kecergasan akhir sebelum menamakan 18 pemain untuk bertemu Kuala Lumpur.

Saturday, April 30, 2011

Liga Super 2011: Kelantan Rampas Takhta Liga

Kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur di Kota Bharu sebentar tadi telah meletakkan The Reds Warriors kembali di persada liga, mengatasi Selangor dengan perbezaan jaringan. Kelantan yang turun selaku tuan rumah dihadapan lebih 20, 000 penyokong mereka tampil dengan aksi sendiri dengan meledakkan 1 gol pada setiap masa perlawanan. Walaupun banyak peluang cantik yang dipersiakan oleh pemain Kelantan, kemenangan 2-0 sudah cukup memadai buat mereka apabila kembali menerajui liga. 

Selangor yang sebelum ini gah di persada liga, diikat 1-1 oleh Terengganu semalam. Setelah dikecewakan di Kota Bharu, niat Selangor untuk bangkit dengan 3 mata penuh di Kuala Terengganu tidak kesampaian. Anak buah K.Devan perlu akur akan kehebatan 2 pasukan Pantai Timur ini, ditambah lagi mereka bermain digelanggang sendiri yang dipenuhi ribuan penyokong setia masing2. Walaupun mendahului melalui jaringan Safiq Rahim pada sparuh masa pertama, gol cantik jaringan Ismail Faruqi untuk Terengganu pada minit ke 63 meleburkan impian mengutip 3 mata penuh. 

Saingan 3 tangga teratas semakin sengit apabila hanya jaringan dan satu mata yang memisahkan kedudukan mereka. 

Berikut keputusan Liga Super 2011 untuk perlawanan ke 16 (29 & 30 April 2011)


Dalam satu lagi perlawanan semalam, Perak yang turun selaku tuan rumah tidak berdaya menahan kebangkitan pasukan jirannya, Kedah setelah tewas 1-3 dengan anak buah Wan Jamak Hassan. 

Manakala Negeri Sembilan yang masih gagal menemui rentak untuk musim ini terus dihimpit kekecewaan setelah diikat 2-2 dengan Felda United.

Tuesday, April 26, 2011

Kelantan, Terengganu Rapatkan Jurang

Seperti yang dijangka, pertembungan antara Kelantan menentang Selangor di Kota Bharu berlangsung sengit. Kedua-dua pasukan tampil dengan misi masing. Kelantan yang pasti ingin merapatkan jurang lantas merampas kembali takhta liga dari Selangor yang selesa dipersada. Bagi Selangor, pertemuan malam tadi ingin dijadikan medan untuk membalas dendam setelah tewas 0-2 di Shah Alam Januari lalu. Pemain pertahanan kedua2 pasukan bertungkus lumus membantu penjaga gol masing-masing untuk menidakkan jaringan lawan. 

Namun, kesilapan pertahanan Selangor yang memberi laluan mudah buat penyerang berbisa, Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol tunggal perlawanan seawal minit ke 5. 1 gol sudah cukup untuk menggembirakan ribuan penyokong fanatik Kelantan sebentar tadi. Lebih manis apabila kemenangan The Red Warriors disaksikan sendiri oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke IV. Selangor bakal berdepan tugas getir lagi Sabtu ini apabila dijadualkan bertemu satu lagi jagoan Pantai Timur, Terengganu di K.Terengganu.


Di stadium Likas, Terengganu yang ketinggalan 0-1 kepada Sabah tangkas bangkit untuk mengutip 3 mata berharga sebelum berdepan Selangor Sabtu ini. Kemenangan anak buah Irfan Bakti malam ini meletakkan Terengganu hanya 2 mata di belakang Selangor, dan 1 mata didepan Kelantan.

Nasib berbeza menimpa 3 pasukan utara iaitu Perlis, Perak dan Kedah. Kedah yang ditewaskan Harimau Muda A pada perlawanan lepas terpaksa melepaskan 3 mata kepada T-Team, apabila berdepan dengan pasukan berstatus kelab itu di K.Terengganu sebentar tadi. T-Team yang agak merudum pada beberapa perlawanan lepas, bangkit semula dengan menewaskan Kedah 3-1.

Bagi Perak, kekalahan memalukan kepada Terengganu Sabtu lepas dijadikan pengajaran yang bermakna apabila skuad Seladang kembali bangkit untuk mencabar 3 pasukan ditangga teratas liga. 8 gol dihasilkan di Ipoh, menyaksikan pasukan tuan rumah mengalahkan Kuala Lumpur 5-3.

Di Kangar, Perlis masih gagal menemui rentak walaupun dikuatkan oleh dua muka baru. Perlis gagal meraih kemenangan kedua apabila tewas 1-2 kepada Pahang.

Monday, April 25, 2011

Liga Super 2011, Pertembungan Gergasi Tanah Air

Jadual perlawanan Liga Super malam ini, dimana pertembungan antara Kelantan dan Selangor pastinya bakal berlangsung sengit. Kelantan tiada pilihan lain selain menang jika ingin terus mencabar kedudukan 2 pasukan teratas, Selangor dan Terengganu. Selangor pula pastinya turun dengan misi membalas dendam setelah kalah pada pasukan yang sama awal Januari lalu.

 Sumber: Kosmo!

PERTEMBUNGAN dua musuh baru bola sepak negara, Kelantan dan Selangor pastinya menjadi tumpuan apabila gergasi Lembah Klang itu dijadualkan turun menentang The Red Warriors di Kota Bharu malam ini.
Lebih signifikan, kedua-dua pasukan ini akan turun dengan misi tersendiri terutama Selangor yang sudah pasti mahu menebus semula kekalahan mereka di tangan Kelantan ketika aksi Piala Sumbangsih, Januari lalu.
Kemenangan di Stadium Sultan Muhammed Ke IV Kota Bharu malam ini bermakna Kelantan mencipta rekod bersih ke atas Selangor dalam saingan liga musim ini biarpun mereka bakal berentap dalam aksi Piala FA atau mungkin pada Piala Malaysia nanti
.
Sembilan gol yang dicetak Kelantan dalam dua perlawanan menentang Perlis di Kangar dan Kota Bharu tempoh hari mungkin cukup untuk membuktikan bahawa The Red Warriors kini berada pada prestasi terbaik untuk merebahkan siapa sahaja lawan mereka.

Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu sudah mencongak strategi bagi menghadapi Selangor apabila merehatkan dua tonggak utama, Rizal Fahmi Rosid dan Nurul Azuan Roya pada aksi menentang Perlis, Sabtu lalu.

Khidmat ayam tambatan mereka, Norshahrul Idlan Talaha juga dipendekkan pada perlawanan tersebut apabila dikeluarkan ketika perlawanan berbaki lebih 20 minit bagi memberi mereka peluang untuk mendapatkan rehat secukupnya bagi persiapan menentang Selangor.

Bagaimanapun, kelibat dua bintang muda dalam pembikinan, Nizad Ayub dab Mohd. Izuan Solehuddin kini sudah mula meniti di bibir para peminat The Red Warriors apabila kedua-dua mereka tersenarai sebagai penjaring pada perlawanan menentang Perlis tempoh hari.

Bagi Karathu, beliau menyedari bahawa perlawanan malam ini cukup sukar untuk pasukannya namun, cukup optimis anak-anak buahnya mampu mengejutkan Selangor bagi mengurangkan jurang kedudukan mata.
"Ini adalah peluang terbaik untuk kita merapatkan jurang mata, ia pastinya perlawanan yang sengit dan saya mahu semua pemain menyedari hakikat itu. Bekerja dan sentiasa bekerja ketika di padang, itu adalah sangat perlu untuk kita mengatasi Selangor.

"Barisan pertahanan perlu lebih bijak mematahkan serangan dan mereka perlu tenang. Jentera hadapan juga perlu lebih pantas, manfaatkan setiap peluang yang ada untuk mencipta jaringan," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau masih menaruh kepercayaan kepada ketua pasukan, Badri Radzi yang akan bergandingan bersama Norshahrul Idlan di bahagian serangan dan beliau akan lebih banyak bertindak sebagai pengumpan.
Walau bagaimanapun, cabaran Selangor kali ini bukan sahaja menentang 11 orang pemain Kelantan tetapi jagoan Pantai Timur itu sudah pasti akan menerima suntikan semangat daripada 25,000 penyokong fanatik yang akan menyendatkan stadium keramat mereka. 

Justeru, para pemain Selangor dan juga Kelantan perlu membuat persiapan mental paling rapi bagi memastikan perlawanan berlangsung dengan baik sehingga ke wisel penamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Saturday, April 23, 2011

Liga Super 2011: Keputusan Perlawanan Ke 14

Sebanyak 5 perlawanan berlangsung malam tadi menyaksikan Selangor masih kekal ditangga teratas dengan 32 mata setelah menang tipis 2-1 ke atas Sabah. Terengganu dan Kelantan terus mengekori ditangga ke 2 dan ke 3 setelah kedua2 pasukan dari Pantai Timur itu menang besar dalam perlawanan masing2.

Setelah Kelantan membelasah Perlis 4-0 di Kota Bharu kelmarin, malam tadi giliran Terengganu pula meraikan kemenangan besar. Lebih menggembirakan apabila mereka mampu menundukkan Perak dengan jaringan 3-0. Perak yang menang bergaya ke atas Kelantan 4-0 minggu lalu tidak mampu mengulangi kemenangan yang sama apabila berdepan anak buah Irfan Bakti yang nyata lebih bersedia.


Negeri Sembilan yang dilihat merosot sebelum ini, tampil garang apabila berjaya menundukkan anak buah Dollah Salleh, 3-1. Kemenangan yang berjaya meletakkan N9 ditangga ke 11, naik 2 anak tangga dari sebelum ini. Manakala Kedah yang baru saja mendapat khidmat Wan Jamak, iaitu bekas jurulatih N9 tewas tipis 1-2 ditangan Harimau Muda A.

Untuk perlawanan seterusnya, pertembungan kedua musim ini buat Kelantan dan Selangor dilihat bakal menarik perhatian. Jika pada awal musim, Kelantan menewaskan Selangor di Shah Alam lantas merampas Piala Sumbangsih, mungkinkah keputusan yang sama bakal berulang. Tambahan pula perlawanan kali ini bakal berlangsung di stadium keramat The Red Warriors. Jika kalah, kedudukan Selangor ditangga teratas mungkin akan dicabar. Sama2 kita saksikan nanti.

Friday, April 22, 2011

Perlis Mangsa Kebangkitan Kelantan

Liga Super 2011 masuk ke musim kedua dimana hanya 2 perlawanan berlangsung malam ini. Selasa lalu, Kelantan bangkit dari prestasi yang kurang memberangsangkan dengan membenam pasukan tercorot liga, Perlis 5-1 di Stadium Utama. Malam ini anak buah M.Karathu sekali lagi menggembirakan ribuan penyokong The Red Warriors apabila melayan kunjungan Perlis di Kota Bharu. Perlis tewas 0-4 ditangan Kelantan.

Satu lagi perlawanan yang berlangsung menyaksikan Kuala Lumpur sekadar seri dengan Felda United. Selasa lepas, Kuala Lumpur tewas 1-2 kepada pasukan yang sama. Lain2 perlawanan bakal berlangsung besok. 

Kelantan 4 Perlis 0
K.Lumpur 0 Felda United 0

Wednesday, April 20, 2011

Kedah Terus Beri Cabaran

Kedah 1 Harimau Muda A 0

Satu2nya perlawanan yang berlangsung semalam menyaksikan Kedah meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan Harimau Muda A 1-0. Ini merupakan kemenangan ke 4 berturut-turut skuad Kenari. Jika Kedah dilihat hambar pada awal musim, namum pertukaran jurulatih yang dibuat oleh Persatuan Bolasepak Kedah nyata membantu kebangkitan semula skuad utara ini.

Kedah kini menduduki tangga ke 4 liga, berkongsi mata dengan Kelantan ditempat ke 3 dan hanya dibezakan dengan jurang 5 mata dengan pendahulu liga, Selangor. 

Tuesday, April 19, 2011

Liga Super Perlawanan ke 13: Kelantan Bangkit

Setelah menerima kekalahan teruk kepada Perak, dan seri dengan Sabah Sabtu lalu sehingga jatuh ke tangga ke 4, Kelantan akhirnya tersedar dari lamunan apabila bangkit dalam perlawanan menentang Perlis sebentar tadi. Kelantan sekali lagi menang besar setelah membelasah Perlis 5-1 digelanggang sendiri. Kegembiraan skuad Perlis yang berjaya mendapat kemenangan pertama musim ini dengan mengalahkan Naib Juara Piala Malaysia musim lalu, N9 sekali gus terpadam dengan kebangkitan skuad Kijang malam ini.



Di Shah Alam, Selangor hampir menerima nasib yang sama dengan Kelantan minggu lalu apabila bertemu Sabah. Namum, jaringan yang dihasilkan diminit 73 perlawanan berjaya memberi 3 mata penuh buat The Red Giant, sekali gus meletakkan Selangor terus unggul dipersada Liga Super.

2 lagi pasukan yang berada dikelompok 3 teratas, iaitu Perak dan Terengganu sekadar mendapat 1 mata setelah seri dalam pertembungan antara kedua pasukan itu sebentar tadi.

Negeri Sembilan pula terus dilanda kesedihan setelah gagal mendapat 3 mata dari perlawanan menentang Pahang sebentar tadi. Setelah kalah ditangan Perlis Sabtu lalu, skuad Hoben Jang Hoben hanya sekadar seri 1-1 dengan Tok Gajah.

Satu lagi perlawanan iaitu Kedah menentang Harimau Muda A akan berlangsung besok.

Perlawanan musim kedua akan bermula Sabtu ini dengan perlawanan timbal balik untuk semua aksi malam ini.

Saturday, April 16, 2011

Liga Super:Kedudukan Selangor Makin Kukuh

Kedudukan Selangor sebagai pendahulu Liga Super terus kukuh setelah berjaya menewaskan Perak 1-0 sebentar tadi. Perak yang garang membenam Kelantan 4-0 Selasa lalu tidak mampu mengulangi kehebatannya malam ini apabila turun berdepan skuad merah kuning. Pencabar baru, Terengganu pula smakin mengejar takhta apabila kemenangan ke atas Felda semalam berjaya meletakkan Terengganu ditangga ke 2 dikuti Perak ditangga ke 3.

Malam bertimpa buat Kelantan apabila gagal memanfaatkan kelebihan beraksi digelanggang sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan menentang Sabah. Kekalahan di tangan Perak serta kegagalan mengutip 3 mata malam ini meletakkan Kelantan ditangga keempat, berkongsi mata dengan Kedah yang menewaskan Pahang 1-0 sebentar tadi.


Turut mencipta kejutan, Kuala Lumpur yang menewaskan T-Team 3-1. Ini merupakan kekalahan kedua berturut-turut dialami T-Team. Setelah garang menumpaskan Kelantan dan Selangor, langkah T-Team, dilihat kembali perlahan.

Protes yang dilakukan oleh penyokong Negeri Sembilan Selasa lalu nampaknya gagal menyemarakkan semangat pemain, apabila skuad N9 terus dilanda kekalahan. Kali ini ditangan pasukan tercorot liga, Perlis. Kekalahan meletakkan Naib Johan Piala Malaysia musim lalu ditangga kedua tercorot.

Friday, April 15, 2011

Liga Super 2011 Perlawanan ke 12

Saingan Liga Super diteruskan lagi untuk perlawanan ke 12 bermula malam ini dengan pertembungan antara Terengganu menentang Felda United. Terengganu yang kini muncul antara pencabar untuk kelompok 3 teratas turun dengan keyakinan mampu mengutip 3 mata penuh selepas berjaya mengatasi T-Team Selasa lepas. Untuk Felda United, perlawanan malam ini pastinya digunakan sepenuhnya untuk membuktikan kebangkitan semula pasukan berstatus kelab itu. Setelah kalah 2 perlawanan berturut menentang Kelantan dan Selangor, kemunculan semual lima tonggak utama yang terpaksa berehat pastinya menjanjikan saingan yang sengit buat Terengganu.

Lain2 perlawanan dijadualkan berlangsung esok. Yang paling menarik pastinya pertembungan Perak dan Selangor di Shah Alam. Selangor selaku pendahulu liga perlu menang jika mahu terus berada dipersada liga. Kedudukan Selangor kini digugat oleh 3 pencabar iaitu Perak, Terengganu dan Kelantan. Namun laluan bukannya mudah untuk Selangor, Perak yang baru saja menumpaskan juara Piala Malaysia musim lalu Kelantan dengan jaringan 4-0. Perak juga adalah pasukan yang paling sedikit bolos setelah mengharungi 11 perlawanan.

Kelantan pula dijadualkan bertemu Sabah di Kota Bharu. Setelah mengalami kekalahan memalukan dengan Perak, pengendali Kelantan dijangka akan merehatkan beberapa tonggak utama termasuk penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi dan Norshahrul Idlan Talaha. Walaupun saingan nampak mudah, namun Kelantan perlu berhati-hati kerana walaupun menduduki tangga kedua tercorot liga, Sabah satu-satunya pasukan yang berjaya mencalarkan rekod tanpa kalah Perak setelah menang 2-1 keatas pasukan Seladang minggu lalu.

Saingan merebut takhta liga nampaknya terus sengit. Samada Selangor, Perak, Terengganu atau Kelantan, semuanya masih mempunyai peluang yang sama untuk berada dipersada liga.

Ps: Saingan dah nak masuk pusingan kedua, tapi RTM terus menyepi. Tajuk akhbar awal tahun lalu yang menyatakan RTM tidak kisah berhabis demi bola sepak negara nampaknya hanya janji2 kosong yang ditaburkan untuk meredakan keadaan semasa!