Monday, April 25, 2011

Liga Super 2011, Pertembungan Gergasi Tanah Air

Jadual perlawanan Liga Super malam ini, dimana pertembungan antara Kelantan dan Selangor pastinya bakal berlangsung sengit. Kelantan tiada pilihan lain selain menang jika ingin terus mencabar kedudukan 2 pasukan teratas, Selangor dan Terengganu. Selangor pula pastinya turun dengan misi membalas dendam setelah kalah pada pasukan yang sama awal Januari lalu.

 Sumber: Kosmo!

PERTEMBUNGAN dua musuh baru bola sepak negara, Kelantan dan Selangor pastinya menjadi tumpuan apabila gergasi Lembah Klang itu dijadualkan turun menentang The Red Warriors di Kota Bharu malam ini.
Lebih signifikan, kedua-dua pasukan ini akan turun dengan misi tersendiri terutama Selangor yang sudah pasti mahu menebus semula kekalahan mereka di tangan Kelantan ketika aksi Piala Sumbangsih, Januari lalu.
Kemenangan di Stadium Sultan Muhammed Ke IV Kota Bharu malam ini bermakna Kelantan mencipta rekod bersih ke atas Selangor dalam saingan liga musim ini biarpun mereka bakal berentap dalam aksi Piala FA atau mungkin pada Piala Malaysia nanti
.
Sembilan gol yang dicetak Kelantan dalam dua perlawanan menentang Perlis di Kangar dan Kota Bharu tempoh hari mungkin cukup untuk membuktikan bahawa The Red Warriors kini berada pada prestasi terbaik untuk merebahkan siapa sahaja lawan mereka.

Ketua jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu sudah mencongak strategi bagi menghadapi Selangor apabila merehatkan dua tonggak utama, Rizal Fahmi Rosid dan Nurul Azuan Roya pada aksi menentang Perlis, Sabtu lalu.

Khidmat ayam tambatan mereka, Norshahrul Idlan Talaha juga dipendekkan pada perlawanan tersebut apabila dikeluarkan ketika perlawanan berbaki lebih 20 minit bagi memberi mereka peluang untuk mendapatkan rehat secukupnya bagi persiapan menentang Selangor.

Bagaimanapun, kelibat dua bintang muda dalam pembikinan, Nizad Ayub dab Mohd. Izuan Solehuddin kini sudah mula meniti di bibir para peminat The Red Warriors apabila kedua-dua mereka tersenarai sebagai penjaring pada perlawanan menentang Perlis tempoh hari.

Bagi Karathu, beliau menyedari bahawa perlawanan malam ini cukup sukar untuk pasukannya namun, cukup optimis anak-anak buahnya mampu mengejutkan Selangor bagi mengurangkan jurang kedudukan mata.
"Ini adalah peluang terbaik untuk kita merapatkan jurang mata, ia pastinya perlawanan yang sengit dan saya mahu semua pemain menyedari hakikat itu. Bekerja dan sentiasa bekerja ketika di padang, itu adalah sangat perlu untuk kita mengatasi Selangor.

"Barisan pertahanan perlu lebih bijak mematahkan serangan dan mereka perlu tenang. Jentera hadapan juga perlu lebih pantas, manfaatkan setiap peluang yang ada untuk mencipta jaringan," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, beliau masih menaruh kepercayaan kepada ketua pasukan, Badri Radzi yang akan bergandingan bersama Norshahrul Idlan di bahagian serangan dan beliau akan lebih banyak bertindak sebagai pengumpan.
Walau bagaimanapun, cabaran Selangor kali ini bukan sahaja menentang 11 orang pemain Kelantan tetapi jagoan Pantai Timur itu sudah pasti akan menerima suntikan semangat daripada 25,000 penyokong fanatik yang akan menyendatkan stadium keramat mereka. 

Justeru, para pemain Selangor dan juga Kelantan perlu membuat persiapan mental paling rapi bagi memastikan perlawanan berlangsung dengan baik sehingga ke wisel penamat tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

No comments: