Monday, June 6, 2011

Kelantan Kukuhkan Kedudukan

Seperti dijangka, pertembungan antara 2 finalis Piala FA tahun ini berlangsung sengit sebentar tadi. Turun selaku tuan rumah, Terengganu memulakan asakan sebaik wisel dibunyikan. Percubaan demi percubaan dari Terengganu berjaya digagalkan oleh penjaga gawang kedua Kelantan, Mohd Shahrizan. Beliau yang turun menggantikan Khairul Fahmi yang masih bersama skuad Olimpik kebangsaan nyata tidak menghampakan seluruh peminat Kelantan. Beraksi tanpa kelibat penyerang berbisa, Ashaari Samsudin sedikit sebanyak merencatkan rentak serangan Terengganu.

Kelantan yang berjaya menjaringkan gol seawal minit ke 8 hasil sepakan pemain simpanan, Izuan Solahudin terus bernafsu untuk menambah jaringan. 2 gol pada babak kedua dari Norshahrul Idlan Talaha bukan sahaja memberi kemenangan bergaya kepada Kelantan, namun lebih manis apabila peyerang kebangsaan itu berjaya mengatasi jumlah jaringan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya, untuk berada ditangga teratas penjaring terbanyak Liga Super musim ini. 

Di sebalik kegembiraan skuad The Red Warriors, Selangor seolah-olah melaungkan amaran kepada 2 jaguh Pantai Timur ini, apabila kembali bersaing setelah menewaskan Perlis dengan 7-1 di Shah Alam. Selangor yang agak merosot sebelum ini berjaya bangkit dalam 2 perlawanan berturut-turut untuk kembali memberi tekanan kepada Kelantan dan Terengganu. Nyata semangat dan usaha anak didik K.Devan berbaloi apabila bergaya membelasah pasukan tercorot liga sebentar tadi. Selangor kini mengatasi Terengganu dengan kelebihan 1 mata. Saingan hanya berbaki 2 perlawanan, namum bayangan juara Liga Super 2011 masih belum dapat ditentukan. Kelantan, Selangor dan Terengganu masih mempunyai peluang yang hampir sama. 

Turut mencipta kejutan malam ini ialah Negeri Sembilan, yang menang bergaya 4-0 ke atas T-Team. Walaupun sudah terlambat untuk merebut kejuaraan liga, kemenangan malam ini dilihat mampu menyelamatkan Negeri Sembilan daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan. 

Berikut keputusan penuh dan kedudukan terkini liga untuk malam ini:


Saingan Liga Super akan berehat sementara memberi laluan untuk perlawanan akhir Piala FA 2011. Terengganu dan Kelantan bakal berentap sekali lagi, kali ini dalam saingan hidup mati untuk bergelar juara Piala FA. Apakah keputusan malam ini boleh dijadikan kayu pengukur untuk Piala FA nanti? Apapun, kepantasan Ashaari Samsudin pastinya akan ditagih oleh Irfan Bakti untuk membalas dendam kepada Kelantan Sabtu ini.

No comments: