Friday, May 6, 2011

Liga Super: Kejutan Sabah, Perlis

Sabah dan Perlis yang menduduki 2 tangga tercorot liga membuat kejutan dalam saingan Liga Super perlawanan ke 18 yang berlangsung semalam. Sabah yang turun selaku tuan rumah, mengejutkan Naib Juara Piala Malaysia 2010 apabila menumpaskan pasukan tersebut 2-0. Negeri Sembilan yang baru mencatat kemenangan bermakna di  bawah kendalian jurulatih baru, gagal mempertahankan aksi cemerlang di Sabah. 

Bagi Perlis yang menghuni tangga tercorot liga, kemenangan kedua yang diraih dalam saingan musim 2011 ini turut bermakna walaupun gagal mengubah kedudukan liga. Ini kerana, kemenangan yang diraih di gelanggang sendiri tetap meninggalkan kenangan manis buat mereka, apabila menewaskan jaguh kelab Pantai Timur, T-Team. T-Team sebelum ini mengejutkan arena bola sepak negara apabila tampil merobek rekod tanpa kalah Kelantan, diikuti dengan kemenangan ke atas Selangor.

Hampir semua perlawanan yang berlangsung semalam menunjukkan kemenangan berpihak kepada pasukan tuan rumah. Hanya Perak yang semakin tenggelam gagal meraih 3 mata pernuh di Ipoh apabila diikat 0-0 oleh Pahang. 

Persaingan 3 penjuru antara 3 pasukan teratas juga masih sengit dengan 3 mata penuh diraih oleh setiap pasukan apabila turun selaku tuan rumah untuk menewaskan lawan masing-masing. Kelantan menggembirakn hampir 25,000 penyokong di laman sendiri apabila menewaskan Kedah, 2-0. Walaupun diikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama, keputusan M.Karathu memasukkan Khalid Jamlus pada separuh masa kedua berhasil apabila pemain itu berjaya menjaringkan gol pertama The Red Warriors pada minit ke 53, diikuti jaringan kedua oleh Chanturu. Kelantan bakal bertandang ke Paroi Selasa ini untuk bertemu Negeri Sembilan, sebelum kembali bertemu Selangor dalam separuh akhir Piala FA di Shah Alam.

Selangor yang berkongsi mata dengan Kelantan bangkit selepas ketinggalan 0-1 kepada Johor FC seterusnya berjaya meraih 3 mata berharga untuk terus memberi tekanan kepada penghulu liga. Selangor menang dengan 3-2. Selangor akan menentang Kedah di Stadium Darul Aman Selasa ini.

Terengganu yang  terus menghambat 2 pasukan teratas liga turut menambah koleksi jaringan apabila membelasah Kuala Lumpur 4-0 di Kuala Terengganu. 

No comments: