Monday, May 16, 2011

Terengganu, Kelantan......Bakal Berentap di Final Piala FA 2011.

Seperti dijangka, dua gergasi bolasepak Pantai Timur Terengganu dan Kelantan berjaya mara ke final Piala FA 2011. Kedua-dua pasukan berjaya menewaskan lawan masing-masing dengan agregat 5-2 dan 6-2. Terengganu yang mengalahkan Pahang di Kuantan Jumaat lalu dengan 3-2, beraksi cemerlang dihadapan ribuan peminat sendiri. 1 jaringan setiap separuh masa meletakkan Terengganu selesa dengan keputusan 2-0. Ini merupakan aksi ke 4 Terengganu di pentas akhir Piala FA. Kali terakhir Terengganu mara ke final adalah pada tahun 2004, namun dikecewakan oleh Perak 0-3. Untuk rekod, skuad penyu pernah menjulang Piala FA pada tahun 2000 setelah menewaskan Pulau Pinang 4-3 menerusi penentuan penalti.


Di Kota Bharu, Kelantan yang menang bergaya 5-1 ke atas Selangor Jumaat lalu, gagal mengulangi episod yang sama. Turun dengan beberapa pemain simpanan, Kelantan banyak mempersiakan beberapa peluang untuk menjaringkan gol. Malah, penyerang Ramzul Zahini yang mempunyai lebih dari 3 peluang gagal menolak masuk bola ke gawang Selangor walaupun penjaga gol sudah tertewas. Keputusan Datuk M.Karathu untuk merehatkan Norshahrul Idlan Talaha juga dilihat antara faktor ketumpulan jentera serangan. Gol tunggal Kelantan hadir pada minit ke 9 hasil rembatan kencang Shakir Ali dari luar kotak penalti. Selangor berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 79, namum tidak mampu mengubah keputusan. Kelantan mara dengan agregat 6-2. Ini merupakan penampilan ke 2 Kelantan di pentas akhir. Kelantan tewas kepada Selangor 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti pada tahun 2009.

Tahun ini merupakan sejarah pertama di mana 2 pasukan Pantai Timur ini akan berentap di perlawanan akhir. Untuk rekod perlawanan lain sebelum ini, aksi kedua-dua pasukan tampak seimbang apabila banyak perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri. Apa yang pasti, Final Piala FA 2011 pasti akan dimeriahkan oleh kedua-dua pasukan yang di sokong ribuan peminat setia masing-masing.

No comments: